Sabtu, Januari 23, 2010

Pantun Kias

Ayam sabung jangan dipaut,
Jika ditambat kalah laganya.
Asam di gunung ikan di laut,
Dalam belanga bertemu juga.

Buah kurma berlambak-lambak,
Dimakan orang pagi dan petang.
Bagai kerja menolak ombak,
Makin ditolak semakin datang.

Anak Madras menggetah punai,
Punai terbang mengirap bulu.
Betapa dera arus di sungai,
Ditolak pasang balik ke hulu.

Kayu tempinis dari kuala,
Dibawa orang pergi ke Melaka.
Betapa manis rasanya nira,
Disimpan lama menjadi cuka.

Satu dua tiga enam,
Satu enam jadi tujuh.
Buah delima yang ditanam,
Buah berangan hanya tumbuh.

Anak Batak mudik bergalah,
Diketip nyamuk habis lebam.
Bukan retak mencari belah,
Sukat dihempas remuk redam.

Jika masak pisang setandan,
Mari simpan dalam kereta.
Jika ada tuah di badan,
Kaca dipegang jadi permata.

Tanam padi di sawah bendang,
Menanti masuk bilangan tahun.
Jika pandai menjadi orang,
Rezeki secupak makan setahun.

Orang Daik balik ke Daik,
Langsung menghadap si Raja Muda.
Kalau tak dapat tukang yang baik,
Emas sembilan menjadi tembaga.

Kalau pergi tuan ke ladang,
Banyak tupai di atas pokok.
Kalau hari memang lah siang,
Tidak menanti ayam berkokok.

Cik Mahayu memakai subang,
Subang bertatah permata intan.
Kalau nak tahu menjinakkan kumbang,
Taburkan bunga di tengah halaman.

Batang betik di tepi pagar,
Buah rambutan merah berseri.
Orang baik tak payah diajar,
Bagaikan duri tajam sendiri.

Orang Batak bermain pedang,
Sedikit tak gentar, sedikit tak gerun.
Saya umpama katak di padang,
Penat berkotor hujan tak turun.

Pandai berenang ikan siakap,
Berenang bermain dalam perigi.
Sirih pinang sirih kerakap,
Boleh dibuat penawar jampi.

Laksamana pergi memikat,
Dapat seekor anak balam.
Sungguh kecil sampan pukat,
Berani berlayar lautan dalam.

Buah durian dari hulu,
Pokoknya banyak di kebun Cik Amin.
Tak tahukah tuan semenjak dahulu,
Dalam gula racun bermain.

Disangka nenas di tengah padang,
Rupanya urat jawi-jawi.
Disangka panas hingga petang,
Rupanya hujan di tengah hari.


*****

Baca juga Pantun Melayu lainnya :
Pantun Pembuka
Pantun Jenaka
Pantun Percintaan
Pantun Perpisahan
Pantun Kias
Pantun Budi
Pantun Adat
Pantun Agama
Pantun Nasihat
Pantun Pahlawan
Pantun Teka-teki


Sebagian disadur dari :
Pantun dan Pepatah Melayu
Tuanku Luckman Sinar Basarshah II, SH
Diterbitkan :
Yayasan Kesultanan Deli Serdang
Medan
Cetakan IV 2009



Artikel bersempena

  • 14. Cerita Rakyat Melayu - 14.CERITA RAKYAT Di antara prosa khazanah Kepulauan Riau ialah cerita rakyat dan cerita tulisan para penulis daerah ini,baik lama maupun baru. Berikut ini ...